Saturday, March 17, 2012

Meninggalkan Solat Jumaat


Dari Abdullah bin Umar dan Abu Hurairah r.a keduanya menceritakan bahawa mereka mendengar daripada Rasulullah s.a.w ketika baginda sedang berkhutbah di atas mimbar, sabdanya:
“Hendaklah orang-orang yang suka meninggalkan Jumaat menghentikan perbuatan mereka itu, atau adakah mereka mahu Allah membutakan hati mereka dan sesudah itu mereka betul-betul menjadi orang yang lalai?” – H.R Muslim.
Huraian :
Meninggalkan solat Jumaat merupakan perbuatan yang ditegah kerana solat jumaat hukumnya adalah fardhu ain ke atas setiap individu muslim. Orang yang meringan-ringankan hukum Allah ini akan mengundang kemurkaan-Nya dan mereka bakal menerima balasan yang setimpal dengan dosa yang dilakukan. Bahkan orang yang enggan mentaati suruhan Allah pintu hatinya lama-kelamaan akan tertutup daripada mendapat hidayah menjadikan mereka semakin sesat dan tanpa segan terus melakukan dosa-dosa yang lain.
Sesungguhnya orang yang dibenarkan meninggalkan solat Jumaat hanyalah mereka yang menghadapi kesukaran yang mencapai darjah keuzuran syar’i sepertimana yang berlaku kepada orang sakit dan orang musafir. Oleh itu sekiranya seseorang itu tiada sebarang alasan yang munasabah di sisi syarak untuk meninggalkan solat Jumaat, maka hendaklah mereka mengerjakannya kerana solat Jumaat selain dariapada suatu kewajiban dalam beribadat kepada Allah S.W.T ia juga merupakan suatu syiar Islam yang wajib dipelihara demi menjaga kesucian agama.
Share2276

Menghafaz dan Menjaga Al Quran Sebaiknya


Cara untuk menghafal al-Quran untuk jangka masa panjang adalah seperti berikut:
1)  Baca ayat dalam baris pertama sebanyak 10 kali dengan melihat mushaf.  Kemudian, ulanginya tanpa melihat mushaf.
(Mesti 10 kali.  Jangan baca 2 kali, terus mahu mengulang.  Cara ini salah.  Ikut pesanan Sheikh dengan membacanya sebanyak 10 kali, barulah kemudiannya mengulang tanpa melihat mushaf, supaya ayat yang mahu dihafal melekat di dalam minda dan tahu kedudukan ayat tersebut di dalam mushaf.)
Jika ada masalah dengan perkataan tertentu, maka bacalah perkataan tersebut dengan satu perkataan sebelumnya dan satu perkataan selepasnya sebanyak 5 kali.  Kemudian, ulanginya tanpa melihat mushaf.
2)  Kemudian, bacalah ayat dalam baris kedua sebanyak 10 kali dengan melihat mushaf.  Selepas itu, ulangi ayat dalam baris kedua tanpa melihat mushaf.
3)  Setelah ayat dalam baris pertama dan kedua dapat dihafal, bacalah kedua-dua ayat dalam baris pertama dan kedua tersebut dengan melihat mushaf pula sebanyak 3 kali.  Selepas itu, ulanginya sebanyak 3 kali juga tanpa melihat mushaf.
4)  Ulangi perbuatan di atas untuk ayat dalam baris ketiga, keempat, kelima dan seterusnya sehingga habis satu muka surat.
Cara di atas adalah cara penghafalan jangka masa pendek.  Dan hafalan boleh hilang dalam masa beberapa minggu.
Bagaimana untuk menukar penghafalan jangka pendek ini kepada penghafalan jangka panjang?
1)  Ambil mushaf dan buka muka surat yang sudah dihafal itu.  Baca muka surat tersebut sebanyak 20 kali dengan melihat mushaf.  Sebaik-baiknya semasa membaca, jari diletakkan di baris berkenaan.
Perbuatan begini, insyaALLAH akan melekatkan apa yang dihafal kuat di dalam minda.  Anda tidak akan lupa, insyaALLAH.  Segala puji bagi ALLAH.  Kenapa?
Kerana apabila anda membacanya sebanyak 20 kali dengan melihat mushaf, mata anda akan merakam muka surat tersebut dalam bentuk foto ke dalam minda.  InsyaALLAH ia akan melekat kuat di dalam ingatan anda dan takkan melupakannya.
Tentu ada banyak lagi cara yang boleh digunakan untuk menghafal al-Quran.  Cara di atas hanyalah salah satu daripadanya.  Semoga ALLAH Ta`ala memberkati Sheikh atas ilmu yang dikongsikan.  Juga buat insan yang sudi berkongsi video ini kepada umum melalui youtube, semoga ALLAH Ta`ala memberkati mereka juga, amin…
Semoga ALLAH memuliakan kita semua dengan al-Quran yang mulia, amin.
Wallahu ‘alam. Semoga kita dapat sama-sama amal dan sampaikan.

Remaja! Jom Muhasabah!


Firman Allah S.W.T:
”[1]Sesungguhnya telah berjayalah orang-orang yang beriman,
[2]Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya;
[3]Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia;
[4]Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu);
[5]Dan mereka yang menjaga kehormatannya, -
[6]Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela: -
[7]Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas;
[8]Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya;
[9]Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya;”
(Surah Al-Mu’minun 23: 1-9)
Remaja. Ya, anda.  Jom! Mari kita sama-sama bermuhasabah. Melalui garis panduan yang telah Allah tunjukkan kepada kita dalam 9 ayat daripada Surah Al-Mu’minun ini, dapatlah kita sama-sama melihat. Muhasabah kembali. Apakah kita layak menjadi orang yang berjaya dalam erti kata yang sebenarnya?
Di ayat yang pertama lagi. ”Sesungguhnya telah berjayalah orang-orang yang beriman,”  kita telah mampu membuat gambaran melalui first impression, dan menambah keyakinan dalam hati kita bahawa agama Islam merupakan agama yang sempurna. Tiada yang perlu diragui lagi. Tak dapat disangkal lagi. Yakinlah wahai remaja sekalian! Islam bukanlah agama yang mengongkong kita. Islam juga bukanlah agama yang ekstrim. Malah, Islam adalah cara hidup. Mari kita perhatikan Firman Allah S.W.T yang berikut:
”Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam agama Islam dengan menyeluruh”
(Al-Baqarah 2: 208)
Ramai dalam kalangan kita yang solat. Mungkin pernah terlintas dalam fikiran kita ”Aku menunaikan solat, tapi mengapa aku masih sukar atau sering melakukan ma’siat, sedangkan Allah pernah berfirman:
 “ Dirikanlah solatsesungguhnya solat itu dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.”
(al-Ankabut: 45)
Sahabat sekalian, mari mencari jawapannya. Saya percaya anda sendiri sudah sedar bukan? Perhatikan kembali ayat kedua dalam Surah Al-Mu’minun tadi. “ Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya;” Khusyuk kah kita dalam solat? Cuma kita sendiri yang dapat menilainya.
Oleh itu sahabat, disinilah pentingnya ilmu. Memperbaiki cara solat kita. Janganlah biarkan pemikiran kuno mempengaruhi kita. Pemikiran seperti  ”Tiada ustaz yang nak ajar kami, jadi kami tak tahu. Tak apa, sesungguhnya  Allah Maha Mengasihani, Allah tidak menyeksa hambanya yang tak tahu. Allah itu tidak zalim. Tak Mengapa.”
Benar, Allah tidak zalim. Tapi sahabat, bersyukurlah kita kerana kita dilahirkan di zaman ini. Menuntut ilmu tidaklah sesukar para ulama dahulu. Walaupun dalam ketika kerosakan ummah sedang berlaku, ianya tidak menjadi penghalang kepada kita untuk menuntut dan mencari ilmu agama bagi memantapkan akidah dan ibadah kita. Juga, ketahuilah bahawa menyempurnakan solat kita juga merupakan satu tuntutan. Inisiatif perlu diambil bagi mencari ustaz atau guru untuk mengajar kita dalam hal ini. Ingatlah, ilmu itu tidak datang dengan sendirinya. Tiada kejayaan yang datang dengan sendiri. Allah S.W.T berfirman:
”Dan bahawasanya manusia hanya memperoleh apa yang telah diusahakannya, Dan sesungguhnya usahanya itu kelak akan diperlihatkan(kepadanya)”  (An-Najm 53: 39-40)
Marilah kita bersama-sama memperbaiki diri kita melalui kaedah bermuhasabah ini. Sedarkah kita, bahawa kitalah generasi yang akan menerajui perjuangan Islam dan pelapis pemimpin negara setelah perginya pemimpin-pemimpin yang dihormati sekarang. Sahabat, mungkin kita semua perlu menjadi pakar dalam bidang masing-masing seperti Pakar Teknologi, Pakar Math, Pakar Biologi, Pakar Fizik, Pakar Kimia dan lain-lain. Kita harus bergabung bagi membentuk sebuah empayar Islam yang baru! Generasi dahulu telah membuktikannya! Takkan kita hanya hanyut dan lena dibuai kisah cinta sahaja?
Mari kita soroti kembali kisah kejayaan seorang tokoh ilmuwan Islam yang tak asing lagi bagi kita. Beliau adalah Ibnu Sina. Ibnu Sina atau dikenali sebagai  Avicenna di Negara Barat telah mengkhatamkan hafazan Al Quran pada usia yang sangat muda dan telah dapat menjaganya dengan baik pada usia 10 tahun. Kegigihan beliau dalam menuntut ilmu dapat dibuktikan lagi dengan terhasilnya karya yang sangat terkenal dan menjadi sumber rujukan selama berabad-abad iaitu Qanun fi Thib (Canon of Medicine). Ibnu Sina  telah dilantik menjadi Doktor Di Raja pada umur 18 tahun. Beliau mula belajar mengenai falsafah dengan membaca pelbagai tulisan seperti tulisan Greek, Muslim dan buku-buku lain mengenai subjek ini serta mempelajari logik dan subjek lain daripada Abu Abdallah Natili iaitu seorang ahli falsafah terkenal pada waktu itu. Pernah suatu ketika beliau telah membaca buku “Metafizik Aristotle” sebanyak 40 kali hanya semata-mata untuk mencari penyelesaian kepada permasalahan yang dihadapi.
Seperti ilmuwan lain Ibnu Nafis, Ibnu Sina, Al-Batani, Newton, Einstein, Kepler, Plato, Aristotle dan ramai lagi ahli ilmu, ahli falsafah dan ahli fikir memulakan aktiviti saintifiknya dengan berfikir. Genius ini ialah memiliki kekuatan berfikir yang luar biasa. Bila melihat langit, bintang-bintang, system cakerawala, hujan yang turun, petir dan  kilat yang sambar menyambar, sakit dan kematian, ia mendorong mereka berfikir. Hasil daripada pemikiranlah yang melahirkan tanggapan dan kesimpulan terhadap sesuatu. Daripadanya, suburlah ilmu dan kehidupan akan menjadi lebih bermakna.
Mari kita sama-sama menghayati Firman Allah S.W.T:
“dan tidaklah Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk memperhambakan diri kepadaKu”
(Az-Zariyat 51:56)
Hakikatnya, setiap apa yang kita lakukan adalah untuk Allah. Setiap kejayaan yang diraih. Setiap kegagalan yang menduga. Setiap nikmat yang dikurniakan. Setiap musibah yang melanda. Semuanya telah Allah tetapkan. Semua itu adalah dalam pengetahuanNya. Redha dengan ketentuanNya merupakan satu kekuatan yang amat besar. Satu kisah yang diceritakan, bahawa si fulan bertanya kepada seorang kanak-kanak  yang kematian ayah kandungnya di Afghanistan akibat ditembak oleh musuh Allah, “Kamu tak sedihkah? Sedangkan ayah kamu mati ditembak oleh musuhNya?” Kanak-kanak itu menjawab tanpa ada riak sedih pada wajahnya “Tak. Ayah aku tak mati. Dia cuma pergi berjumpa Allah di alam lain”. Subhanallah. Sebegitu kuat keyakinannya terhadap agama ini. Walaupun pada kebiasaannya, seorang kanak-kanak seusia 8 tahun itu akan menangis meratapi pemergian ayahnya. Tetapi tidak pada kenak-kanak ini.  Allah S.W.T berfirman:
“Dan janganlah kamu mengatakan orang-orang yang terbunuh di jalan Allah (mereka) telah mati. Sebenarnya mereka hidup tapi kamu tidak menyedarinya” (Al-Baqarah 2 : 154)
Akhir kalam, saudara sekalian. Marilah kita sama-sama memanjatkan syukur kepadaNya kerana masih dikurniakan nikmat paling besar dalam kehidupan insan. Tanpanya, kehidupan insan itu tak lagi bernilai. Itulah nikmat iman. Marilah kita mengukuhkan iman dengan ketaatan kepadaNya.
Semoga apa yang kita perolehi, dapat sama-sama kita amal dan sampaikan. InyaAllah.


Menghafaz Al Quran : Fadhilat dan Kaifiat


Allah berfirman dalam kitabNya yang mulia:
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al Quran dan Kamilah yang akan menjaganya”  (Al Hijr 15:9)
Al Quran ialah kitab suci bagi umat Islam. Al Quran diturunkan Allah ‘Azza wa Jalla secara beransur-ansur kepada Nabi Muhammad S.A.W dengan perantaraan Malaikat Jibril A.S bersesuaian dengan peristiwa-peristiwa yang berlaku pada zaman itu bagi memudahkan hafalan dan pengamalan oleh para sahabat ketika itu. Nabi Muhammad S.A.W juga pernah berpesan dalam khutbah Baginda yang terakhir. Mafhumnya bermaksud:
“Sesungguhnya  aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran danSunnahku.”
Sesungguhnya, berjayalah mereka yang menghafaz dan mengamalkan apa yang terkandung dalam Al Quran. Al Quran merupakan kitab yang serba ada. Sehinggakan ada suatu kisah, ketika seorang pelajar bertanyakan kepada syeikhnya. “Wahai ustazku, kamu mengatakan segalanya ada dalam Al-Quran. Cuba beritahuku bagaimana cara untuk membuat roti?” Si ustaz diam sejenak. Lantas si ustaz membacakan Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).” (an-Nahl: 43)
Di sini, dapat kita simpulkan, Allah telah menunjukkan kita cara dalam menjalani masalah yang kita hadapi  dalam  kehidupan seharian kita. Semuanya dengan Al-Quran. Yakinlah wahai sahabat  sekalian. Islam merupakan agama yang syumulyaitu sempurna.
Al Quran bukanlah seperti yang dikatakan oleh puak kuffar. Mereka mengatakan bahawa Al Quran merupakan kitab karangan seorang sasterawan arab ataupun Nabi Muhammad S.A.W sendiri walhal mereka tidak mengetahui tentang hal yang mereka perkatakan itu. Hal ini terbukti dengan tentangan daripada Al Quran sendiri. Cuba kita perhatikan Firman Allah S.W.T yang berikut:
“Katakanlah: ‘Maka datangkanlah sepuluh surat yang (dapat) menyamainya” (Surah Hud 13).
“Katakanlah: (‘Kalau benar apa yang kamu katakan), maka cubalah datangkan sebuah surat yang menyerupainya” (Surah Yunus 38).
Hujjah mereka yang mengatakan Al Quran itu merupakan sebuah kitab karangan Junjungan Besar kita Nabi Muhammad S.A.W dapat disangkal dengan fakta yang tepat lagi benar.  Kita sudah sedia maklum bahawa Allah menjadikan kekasihNya  Nabi Muhammad S.A.W sebagai Rasul yang ‘Ummiy (tidak tahu membaca dan menulis) dan itu tidak mencacatkan sedikitpun kesempurnaan dan kebijaksanaan yang dikurniakan kepada kekasihNya. Nah! Di sini hikmahnya. Allah menjadikan ia sebagai hujjah bagi orang Islam untuk menolak hujjah puak kuffar yang tidak berasas itu. Allah juga menjelaskan dalam firmanNya :
“Dialah yang telah mengutuskan di kalangan orang yang Ummiyin, seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Nya”. (Surah Al-Jumu’ah 62:2)
Satu fakta yang tak dapat disangkal lagi bahawa, Al Quran merupakan Kalam Allah S.W.T yang Kareem(Mulia) dan ‘Adzim(Agung). Sebagai perumpamaan, jika kita merupakan beginner dalam bidang fotografi dan tidak mahir menggunakan kamera DSLR. Sudah tentu, kita akan merujuk kepada manualnya bukan? Ya, begitu juga kehidupan kita sebagai insan. Al-Quran merupakan manual untuk meneruskan survival insan di atas muka bumi Allah Azza wa Jalla ini. Amatlah terbimbing bagi mereka yang hidup berpandukan Al-Quran.
Justeru, menghafaz Al-Quran merupakan satu jalan yang baik dalam usaha untuk memperbaiki dan menjalani hidup di jalan yang diredhaiNya. Terdapat banyak hadis tentang kemuliaan dan fadhilat menghafal Al-Quran yang diriwayatkan. Berikut merupakan hadis-hadis yang terkandung dalam kitab-kitab hadis Sunan Sittah yang mafhumnya bermaksud:
“Sesungguhnya Allah memiliki kerabat-kerabatnya di kalangan manusia. Lalu mereka bertanya : Siapakah mereka ya Rasulullah S.A.W? Jawab baginda : Mereka adalah ahli al-Quran, merekalah kerabat Allah (Ahlullah) dan dan orang-orang pilihannya.”(Riwayat Ibnu Majah)
“Yang menjadi imam suatu kaum adalah yang paling banyak hafalannya.” (Riwayat Muslim)
 “Adalah nabi mengumpulkan di antara dua orang syuhada Uhud kemudian beliau bersabda, “Manakah di antara keduanya yang lebih banyak hafal al-Quran, ketika ditunjuk kepada salah satunya, maka beliau mendahulukan pemakamannya di liang lahat.” (Riwayat Bukhari)
 “Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari Al Qur’an dan yang mengajarkannya” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
“Sesiapa membaca Al Quran dan beramal dengan apa yang terkandung dalamnya maka kedua dua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinaran mahkota itu akan melebihi daripada cahaya matahari , sungguhpun matahari itu berada di dalam rumah rumah kamu di dunia ini.” (Riwayat Imam Ahmad , Abu Daud)
Dari Abi Umamah ra. ia berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Bacalah olehmu al- Quran, sesungguhnya ia akan menjadi pemberi syafaat pada hari kiamat kepada para pembacanya (penghafalnya).”(Riwayat Muslim)
“Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (al-Quran) maka baginya (pembaca) dengannya (al-Quran) pahala dan pahala digandakan sepuluh sebagaimananya. Aku tidak kata bahawa “alif laam mim” itu satu huruf tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim itu satu huruf. “(Riwayat Tarmizi)
Semoga apa yang kita dapat, dapat kita amal dan sampaikan.